Program Semai Mesra 2011 naikkan semangat 100 bakal mahasiswa ke luar negara
Shah Alam, 9 Januari – Bertemakan “Ready. Get set. Fly!”, Program Semai Mesra 2011 berjaya menaikkan semangat hampir 100 orang peserta yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Program tahunan anjuran Sekretariat Antarabangsa ISMA ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bertempat di Taman Pertanian, Bukit Cerakah, Shah Alam.
Program yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal pelajar sebagai persediaan mereka untuk menempuh kehidupan di luar negara ini dilihat berhasil mencapai objektifnya apabila rata-rata pelajar berpuas hati dengan perkongsian informasi dan pengalaman tentang proses pembelajaran dan kehidupan di luar negara (khususnya Australia dan New Zealand) oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior dari pelbagai universti di kedua-dua Negara tersebut.
Bermula dengan sesi pengenalan (ice-breaking session) sebagai pembuka tirai, program semai mesra tahun ini dimuatkan dengan beberapa aktiviti dan sesi soaljawab yang lebih interaktif dan berkesan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sesi ‘Fair Dinkum Muslim’ berjaya memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan melengkapkan diri dengan sepuluh ciri-ciri muslim sejati (‘fair dinkum’ is an Australian slang meaning truly) termasuklah aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, mampu bekerja, berpengetahuan luas, tubuh yang cergas, mampu menguasai diri, teratur urusan, menghargai masa serta bermanfaat kepada orang lain.
Sesi kedua bertajuk ‘OZ-NZ tips’ yang dijalankan secara berasingan antara peserta lelaki dan wanita dilihat lebih efektif dalam menjawab pertanyaan para peserta tentang perkara penting yang perlu diuruskan apabila mereka sampai ke negara masing-masing seperti pengurusan penempatan, pembukaan akaun bank dan telefon, pengangkutan dan lain-lain lagi. Sesuai dengan namanya, program kali ini juga menyaksikan bibit-bibit kemesraan tersemai antara peserta dan fasilitator melalui beberapa permainan dan aktiviti kerja berkumpulan (team buiding).
Lebih menarik lagi, program ini turut dimeriahkan dengan keletah moderator dan ahli panel OZ-NZ talk show yang bertemakan ‘OZ-NZ… dulu, dan sekarang’. Sesi santai yang membincangkan perbandingan aspek kehidupan di luar negara zaman 90-an dan zaman sekarang ini menjadi lebih hangat apabila beberapa soalan ‘cepumas’ tentang survival pelajar melayu diutarakan oleh moderator mahupun para peserta kepada ahli panel yang terdiri daripada pelajar dan graduan Australia dan New Zealand yang sudah berkerja.
Hari terakhir diteruskan dengan perkongsian ‘Fiqh Travelers’. Dalam sesi ini Peserta didedahkan dengan beberapa perkara berkaitan ibadah seperti khuf dan rukhsah dalam solat yang bertujuan memberi kemudahan dalam beribadat kepada musafir. Setelah tamat sesi “fiqh travelers”, satu sesi penutup diadakan dan maklum balas dari para peserta mengenai program yang yang berlangsung amat memberangsangkan. Di dalam sesi penutup, majlis penyampaian hadiah dan ucapan penutup oleh pengarah program saudara, Syahril Atiqi telah melabuhkan tirai Program Semai Mesra 2011.
Sumber: Laman Web ISMA Australia
















Comments
Powered by Facebook Comments