Memenangi Anak & Pelajar
oleh Mohd Azmir Mohd Razli
Saya gemar menonton filem-filem yang memberi inspirasi. Kebanyakan filem yang saya tontoni banyak berkaitan dengan isu masyarakat secara umum, mahupun dengan anak-anak muda, remaja dan belia. Mungkin kisah-kisah seperti Laskar Pelangi, the Dead Poet Society, My Name is Khan adalah antara filem yang kita pernah tonton dan dengar. Jujurnya memang tidak dapat dinafikan bahawa bukan kesemua isinya kita boleh terima bulat-bulat, namun ada isinya yang memberi manfaat. Lebih menarik apabila filem tersebut mengisahkan sebuah kisah benar tentang seseorang.
Namun, entri kali ini sebenarnya ingin membincangkan sebuah filem yang saya tontoni, Take the Lead, lakonan Antonio Banderas sebagai Pierre Dulaine. Beliau ialah seorang guru tarian yang bekerja di sebuah studio tarian di New York. Filem ini mengisahkan pengorbanan beliau mengajar tarian kepada sekumpulan pelajar yang bermasalah di sekolah menengah di New York. Latar filem ini ialah ketika kebanjiran pengaruh African-American meresapi masyarakat, terutama kepada anak-anak muda, bukan sekadar dalam bentuk akhlak, malah percakapan, dan juga tarian. Penglibatan remaja dengan gejala pengedaran dadah, jenayah, sosialisasi melampau dan sebagainya adalah suatu kebiasaan. Pierre Dulaine yang merupakan seorang guru tarian Ballroom (Tango, Fox-Trot, Waltz, dll) mendidik pelajar-pelajar bermasalah ini dengan disiplin dalam tarian ballroom yang mengutamakan maruah, disiplin dan lain-lain. Keberjayaan teknik beliau diperluaskan penglibatan 42 guru tarian dan 12 000 orang pelajar di 120 buah sekolah di New York dan kini diperluaskan ke seluruh Amerika dan Kanada.
Tidak perlu diulas lebih lanjut filem tersebut, namun teknik yang digunakan beliau dalam mengajar pelajar-pelajar kategori bermasalah amat menarik dan boleh digunapakai dalam situasi yang pelbagai, termasuklah di dalam kelas, semasa kem, juga dalam keluarga sendiri. Tekniknya mudah dan amat praktikal, antara yang saya sendiri gunakan semasa mengendalikan kem dan juga berinteraksi dengan peserta-peserta. Saya akan memudahkan teknik-teknik yang digunakan oleh Pierre Dulaine supaya ianya boleh digarap secara umum dan menjadi praktikal dalam setiap situasi.
Hormat dan Belas
Biasa mendengar pepatah inggeris berbunyi ‘if you want respect, earn them’? begitulah juga dalam hubungan kita dengan siapa kita bergaul. Andainya situasinya ialah seorang guru dan anak murid, kita perlu menghormati hak mereka dan diri mereka sekiranya kita mahukan yang sama daripada mereka. Hak murid perlu difahami oleh para guru sesuai dengan umur mereka. Sebagai contoh, anak-anak murid semuda tujuh tahun pasti akan banyak bertanya, dan lincah bergerak, kerana itu ialah fitrah mereka, maka hak mereka perlu dihormati. Sekiranya kita mahu mereka memberikan perhatian kepada pengajaran di dalam kelas, maka kita perlu memastikan bahawa teknik pengajaran kita mampu menarik minat mereka.
Begitu juga dengan anak-anak, menghormati mereka selayaknya siapa mereka, maka mereka akan merasakan bahawa mereka mendapat tempat dalam diri kita dan akan membalas hal yang sama. Erik Erikson, dalam teorinya Peringkat Kehidupan (stages of life) menyebut bahawa peringkat pertama pada usia 0-1 tahun (kadang-kadang menjangkau lebih) ialah Kepercayaan vs. Ketidakpercayaan. Sekiranya ibu bapa mampu memberi perhatian, hak anak-anak seperti makanan, kasih sayang dan seumpamanya, maka anak-anak akan memberikan kepercayaan mereka kepada orang tersebut. Maka tidak hairanlah apabila seseorang yang tidak dikenali cuba untuk mendukung satu-satu bayi, dia akan menangis, bukan kerana dia ialah orang yang tidak dikenali, tetapi dia belum mendapat kepercayaan bayi tersebut.
Perasaan belas dalam konteks ini lebih kepada empati, iaitu kita memahami situasi seseorang tersebut dan bersedia menerimanya dalam keadaannya sedia ada, dan bersedia untuk memimpinnnya ke jalan yang lebih baik, meskipun banyak rintangan yang menanti. Ini adalah antara teknik yang paling menyerlah digunakan oleh Pierre Dulaine dalam filem tersebut dan meladeni karenah pelajar-pelajarnya yang sentiasa mengikut kehendak sendiri. Menghadapi karenah-karenah anak-anak dan juga pelajar menuntut kita untuk banyak bersabar, kerana pasti ada yang akan mencuba untuk menguji kesabaran kita. Di sini peranan skil keibubapaan ‘authoritative’ memainkan peranan. Seperti yang ditulis dalam artikel-artikel sebelum ini, menjadi ibu-bapa atau guru yang autoritatif bermaksud kita menjadi pengamal sederhana, dalam erti kata lain, kita tidak terlampau longgar, dan tidak pula terlampau ketat sehingga mereka tidak mampu untuk menjana minda dan kreativiti pemikiran. Berikan ruang kepada mereka untuk belajar, berkembang, tetapi dalam masa yang sama, tetapkan undang-undang bersama yang disepakati dua-dua belah pihak.
Hadir Bersama
Hadir bersama dalam teknik Pierre Dulaine bukanlah semata-mata bermaksud berada di situ semasa sesi pembelajaran, tetapi jiwanya turut berada di situ. Ada daripada guru-guru dan ibu bapa yang berada di sisi anak-anak mereka, tetapi perhatiannya beralih ke hal lain, pemikirannya melangkaui anak-anak di depan mata. Keikhlasan dan jelasnya matlamat perlu ada semasa berada bersama-sama mereka, ini memastikan bahawa mereka berasa benar-benar diberi perhatian. Bahkan, apabila jasad yang kosong berada di dalam kelas, mereka akan mudah merasainya, dan mula menjauhkan diri dari sesi tersebut.
Menyediakan Persekitaran yang Selamat
Menyediakan persekitaran yang selamat bukan sahaja merujuk kepada keselamatan fizikal daripada kebahayaan, tetapi juga keselamatan mental dan emosi. Di dalam kelas bahasa Inggeris, ia memang sukar untuk dielakkan daripada pelajar berasa malu di hadapan rakan-rakan sebaya yang lain. Maka, tugas seorang guru ialah memastikan bahawa mereka berasa selamat untuk bercakap bahasa tersebut. Saya pernah menggunakan teknik ini semasa kem bahasa inggeris di SMA Rembau. Amat jelas inferioriti para pelajar untuk bercakap bahasa inggeris, maka tindakan saya sebagai fasilitator untuk memastikan mereka berasa selamat untuk bercakap bahasa tersebut ialah, saya katakan ‘it’s okay to make mistake’. Stigma para pelajar ialah kalau ingin bercakap bahasa Inggeris, mesti bercakap dengan tatabahasa yang betul. Seperti yang saya nyatakan di atas, kita perlu bersedia menerima mereka seadanya dan bersedia untuk memimpin mereka kepada perubahan meskipun banyaknya rintangan.
Kuasa dan Kawalan
Di sini ia berkait dengan skil autoritatif tadi, iaitu kita memberikan mereka ruang, tetapi ada hadnya. Di sini siapapun anda (guru atau ibu bapa), anda perlu memastikan bahawa anda memegang kuasa dan kawalan dalam situasi tersebut. Bermula dari awal kelas sehingga tamat sesi, anda perlu pastikan kuasa milik anda. Antara cara untuk memastikan kuasa dan kawalan di pihak anda ialah membuat undang-undang dan hukuman yang disepakati bersama. Apabila para pelajar atau anak-anak mula menunjukkan tanda-tanda akan melanggari undang-undang tersebut, maka berilah amaran, atau ingatkan mereka. Sekiranya mereka melanggar undang-undang tersebut, maka dendalah mereka menurut hukuman yang disepakati tadi. Di sini pelajar atau anak-anak tidak akan mempersoalkan mengapa mereka didenda, kerana mereka tahu mereka telah melanggar undang-undang, dan mereka telahpun diberi amaran, sekiranya mereka gagal, maka hukuman itu setimpal bagi mereka.
Sesetengah pelajar atau anak-anak ada yang cuba untuk mencabar undang-undang tersebut, dan kerap kali mengulang tindakan yang sama meskipun amaran telah diberi. Di sini, para guru atau ibu bapa jangan hanya berkata-kata, tetapi laksanakanlah hukuman tersebut, kerana sekali anda tidak menunaikan kata-kata anda, mereka akan berani mencabarnya lagi dan berkata, ‘alah, cikgu bukan denda pun, cakap je’. Hukuman juga perlu dibuat serta-merta bukan ditangguh, kerana pelajar boleh terlupa dan di saat anda ingin menghukum mereka, ianya tidak lagi relevan kerana mereka telah melupakan punca hukuman tersebut, bahkan mungkin akan menyalahkan anda kerana menghukum mereka.
Bahasa: Gaya dan Lisan
Bahasa merupakan aset penting dalam pendidikan, ia memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat. Bahkan ia samada boleh memberi ancaman ataupun pujian. Maka manfaatkanlah kedua-duanya. Sekiranya pelajar atau anak anda mendapat kecemerlangan dalam satu-satu bidang, pujilah dia, atau berikan tepukan lembut di bahu sambil memuji dan memberi ucapan tahniah kepada mereka. Anda akan melihat suatu perubahan pada mereka, secara mendadak. Sekali lagi, jangan tunggu sehingga isu telah basi baru hendak memuji, ketika itu ia bukan lagi suatu hal yang penting baginya.
Bahasa juga boleh memberi ancaman. Diamnya anda di dalam kelas boleh menyebabkan seluruh kelas diam kurang dari seminit, renungan tajam anda boleh ‘membunuh’ hasrat pelajar untuk terus melakukan kesilapan. Tetapi gunakanlah untuk kebaikan, bukan untuk memenuhi kehendak kita.
Jenaka dan Keseronokan
Elemen penting dalam pendidikan, keseronokan supaya para pelajar dan anak-anak berasa mereka tidak dipaksa belajar, bahkan mahu untuk belajar kerana seronoknya sesi pembelajaran tersebut. Pelbagaikan bahan mengajar anda, jangan hanya ‘chalk and talk’, pelajar tidak akan ke mana kalau begitu. Janalah pemikiran kreatif dan kritikal mereka ke arah yang lebih baik. Berjenaka seadanya, kadang-kadang jenaka sinis dan perlian boleh membuatkan mereka berfikir.
Pelajar dan anak-anak adalah pemimpin masa hadapan, bantulah mereka dalam membuat pilihan yang betul dalam kehidupan. Bukan mengikut apa yang kita rasa betul, tetapi mengikut apa yang mereka mampu untuk capai, dengan panduan al-Quran dan Sunnah. Pelajar dan anak-anak tidak dilahirkan jahat ataupun bermasalah, dia dijangkiti oleh orang di sekitarnya.
Rujukan:
Wikipedia: Pierre Dulaine
Wikipedia: Erik Erikson Stages of Life
Woolfolk: Human Development.
Popularity: 2%
Filed Under: TATEH



