Mawar Kecil
Furqan menggerakkan kesepuluh jarinya ke belakang, menyisir rambut di kepala. Ikalnya seketika kusut. Wajahnya pula sedikit sugul. Satu helaan nafas panjang, menandakan kegelisahan hatinya, juga tatapan mata yang hanya berputar-putar tanpa ada titik perhatian yang bererti.
“Aku penat, Azzam” keluh Furqan.
Azzam, sahabat baik Furqan yang sekarang menjadi ‘tong sampah’ menatap Furqan dengan kasihan.
“Kau menyesal?” tanya Azzam.
Furqan mengangkat wajahnya. Matanya menerawang sesaat. Ragu.Keliru.
“Entahlah. Kalau ya sekalipun, untuk apa lagi? Aku tidak mungkin akan meninggalkannya. Semua orang akan mentertawakanku bahkan mungkin ada yang menghinaku, ” keluh Furqan lagi. “ Aku…”
“Dia pilihan kau sendiri. Aku masih ingat lagi, kau bilang kau terlanjur menaruh hati. Kamu berdua terlalu dekat. Sebab tu kau nak sangat berkahwin dengan dia. Malah kau berusaha sungguh-sungguh agar dia akrab dengan akhawat-akhawat yang sudah sekian lama berkecimpung dalam dakwah. Kau mengharap sangat dia menjadi seperti mereka, minima mungkin, dan mula faham dunia itu. Kau juga menolak keras ketika aku dan juga sahabat-sahabat kita yang lain, bahkan ustaz sendiri, menawarkan pilihan lain” Azzam seolah-olah mengingatkan kembali peristiwa itu.
“Ya, aku tidak lupa semua tu. Habis macam mana? Kami dah lama kenal, sama-sama menjadi AJK belia kat kampung kami tu.. dan terlanjur hubungan kami pula terlalu akrab.”
“Malah aku terlanjur bertanya tentang kesudiannya menjadi pendampingku. Dia pula tidak menolak. Keluarganya pula sudah tahu kalau aku berniat untuk itu. Mereka tidak lagi menganggap kami ini sekadar teman biasa, tapi lebih dari itu. Habis tu, kalau aku berkahwin dengan orang lain macam mana pula?” Furqan menyisir rambutnya lagi.
Azzam semakin kasihan. Ah, satu pelajaran paling berharga untuknya yang masih belum melengkapkan separuh lagi agamanya. Jangan sembarangan melakukan hubungan dengan perempuan, lebih-lebih lagi memberikan harapan. Yang jelas jangan sembarangan memilih pasangan.
Furqan sudah mendirikan rumah tangga. Isterinya walaupun bertudung rapi, namun bukanlah seorang yang faham tentang dinamika dakwah dan pergerakannya. Dia tidak mampu memahami segala kesibukan suaminya yang kadang-kadang perlu pulang lewat malam malah kadang-kadang perlu menginap di tempat lain. Dia juga sukar di ajak ke program-program dakwah yang digerakkan oleh bekas aktivis dakwah kampus. Malah dia tidak suka berbual soal fenomena dan keadaan dakwah apatah lagi tentang permasalahan umat. Itulah yang Furqan keluhkan ketika ini. Dia berasa bosan dan penat untuk berhadapan dengan semua itu.
“Kau ni pelik” rungut Azzam.
“Maksud kau?” kening tebal Furqan bertemu seolah-olah pelik dengan kata-kata Azzam.
“Sepatutnya bila kau dah tahu ini jadinya, kenapa pula kau nak mengeluh sekarang? Tugas dan tanggungjawab kau adalah memahamkan dia, nak fahamkan dunia dakwah kau tu”, tegas Azzam.
Furqan menghela nafas panjang. Dia juga tahu semua itu. Tetapi sekarang tugas tersebut terasa begitu berat dan terlalu membebaninya. Eliana bukanlah isteri yang tidak cekap mengurus rumah tangga, juga bukan seorang yang suka membangkang. Cuma dia hanya berasa cukup dengan itu sahaja. Padahal Furqan mahukan isterinya berubah. Dia mahukan isterinya seperti akhawat-akhawat yang dia kenal, yang mempunyai visi tentang dakwah, aktif, dan sudah pasti mampu berkomunikasi dengannya tentang permasalahan dakwah.
“Kau tak kasihankan aku ke, Azzam? Ketika ikhwah-ikhwah lain sudah bergerak ke sana ke mari, aku masih lagi perlu menjelaskan pada Eliana, mengapa aku perlu begini. Ketika kamu semua sedang sibuk membangunkan mimpi, aku masih lagi terkujat dengan ‘partner’ku yang juga ku ajak membangun mimpi yang sama. Seandainya…”.
“Seandainya kau berkahwin dengan akhawat yang memahami, yang sefikrah, jelas kau tidak perlu melakukan semua itu. Malah boleh jadi, isteri kau membuatkan kau semakin laju. Begitu?” Azzam terus menyambung kalimat Furqan yang tergantung.
“Ya. Tidak salah fikiranku, bukan? Kesempatanku masih ada lagi tiga kali” kata Furqan dengan nada putus asa.
Azzam menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ta’adud bukan pelarian. Dalam keadaan sebegini, aku sangsi kau tidak mampu berlaku adil. Lupakan semua itu dulu”, tegur Azzam.
Sekumpulan akhawat melintas di hadapan mereka. Kata-kata ustaz ketika dia mengkhabarkan tentang perkahwinannya tiga tahun dahulu, seketika terngiang di telinga Furqan.
[Bersambung]
Popularity: 4%
Filed Under: CURHAT





kami adalah panah-panah di busur, yg siap ditembakkan dan meluncur. cerpen hebat!