Mawar Kecil [2]

tree

oleh Mohd Hazwan Ab Halim

“Mengapa dia? Enta mahukan akhawat yang macam mana?InsyaAllah ana akan carikan. Yang kaya? Yang cantik? Yang cerdas? Yang sudah bekerja?” tanya Ustaz Azrin.

“Asif, ustaz, ana sudah ada pilihan”, tegas Furqan .

“Akh Furqan, akhawat kita yang sudah berumur dan sudah bersedia berkahwin, ramai. Mereka menunggu kamu semua, para ikhwah. Enta tahu, secara kuantitinya, perkembangan pengkaderan ikhwah dan akhawat, selalunya lebih ramai di kalangan akhawat. Sebab itu, seharusnya setiap ikhwah bersedia untuk berkahwin dengan mereka”, jelas Ustaz Azrin sabar.

“Eliana memang tidak seperti akhawat-akhawat lain, tapi dia sangat baik”, jelas Furqan.

Ustaz Azrin tersenyum, “Beginilah kalau terlalu mengikutkan hati” getus hati kecilnya.

“Ana tidak menolak itu semua. Tetapi sebuah rumah tangga dakwah, memerlukan lebih dari sekadar baik. Baik sahaja tidak cukup. Isteri enta perlu orang yang faham konsep tersebut. Dia sentiasa bersiap sedia bersama enta di dalam dakwah dan pergerakan. Malah dia bersedia menanggung beban dan pengorbanan. Ini bukan dalam tempoh masa setahun dua, akhi. Proses membentuk karakter seperti ini juga memerlukan waktu yang panjang. Enta perlu menyediakan sesuatu input dan waktu khusus untuk membawa isteri enta ke sana. Entah berapa lama. Jadi, mengapa tidak menikahi sahaja yang sudah jelas kualitinya?” desak Ustaz Azrin.

“Asif ustaz. Sekali lagi, saya sudah menetapkan pilihan. Saya datang ke mari bukan untuk meminta pertimbangan tetapi sekadar pemberitahuan”, tegas Furqan.

*****
Sekarang? Kata-kata Ustaz Azrin sudah terbukti. Walaupun Furqan yakin Ustaz Azrin tidak mengolok-olokkan dia, malah mahu membantu, tetapi Furqan tidak ada keberanian untuk datang dan menceritakan masalahnya. Sebab itu dia mencari Azzam.

“Kalau kau tak terlalu mengikut perasaan dan berfikir lebih jauh, juga mempunyai keberanian, kau mampu sahaja membatalkan pinangan tidak rasmi kau itu dulu. Kau beritahu sajalah yang kau dah ada kriteria tertentu tentang calon isteri, ya memang agak berisiko. Tapi itu akan seiring dengan berjalannya waktu. Yang jelas kamu bukan seperti sekarang”, Azzam berandai-andai.

“Azzam, itu cerita lama. Sekarang ni aku mahukan pencerahan untuk keadaan diriku sekarang!” ujar Furqan kecewa.

Azzam ketawa. Hati Furqan benar-benar menjadi marah.

Deringan telefon berbunyi membuatkan Furqan tersentak seketika. Wajahnya berubah tiba-tiba ketika menatap skrin telefonnya.

“Waalaikumussalam. Abang dengan Azzam ni. Kenapa? Ya, lepas abang selesaikan urusan abang, abang akan balik. Walaikumussalam” Furqan mengakhiri perbualannya.

“Siapa? Isteri kau ye?” tanya Azzam.

Furqan mengangguk.

“Dia selalu saja mahu tahu ke mana aku pergi. Manja. Mahu aku ni bersama dengan dia je” keluh Furqan.

“Kau ni mengeluh lagi. Bagaimana dengan cinta yang dulu yang kau jadikan alasan? Kau masih mencintainya, kan? Begitu juga dia?” pancing Azzam.

Furqan tersenyum samar. Cinta. Benarkah? Apakah dulu layak disebut cinta? Jangan-jangan hanya sekadar suka. Yang ada waktunya itu hanya perasaan ingin menjadikan orang yang setiap ketika dia mendekati. Boleh dia pandangi. Entah apa itu namanya.

“Jangan bicara soal cinta. Aku juga sedang mencarinya”, jelas Furqan pasrah.

Suara azan Asar mengejutkan kedua-duanya. Azzam menepuk bahu Furqan, mengajaknya segera solat. Semoga selesai menghadapNya, mereka mampu melihat jalan keluar dan titik yang lebih terang dalam permasalahan ini. Ternyata selepas solat, Furqan mengambil keputusan untuk pulang. Dia tidak mahu isterinya merajuk kerana terlalu lama menunggu. Dalam keadaan normal, Furqan biasa pulang dari pejabatnya pukul satu, bertepatan dengan waktu makan. Azzam hanya mengangkat bahunya.

“Kalau kau masih mahu menceritakan masalah kau, aku bersedia untuk mendengarnya, Furqan! Jerit Azzam ketika motorsikal Furqan laju meninggalkan halaman masjid. Furqan hanya melambaikan tangan.

Malam berjalan menuju separuhnya. Suara cengkerik dan sesekali selaan bunyi burung hantu, menimbulkan suasana khas yang terkadang menegangkan. Furqan menyandar ke dinding, menatap susuk tubuh yang sedang nyenyak tidur.

Wajah itu belum banyak berubah. Juga senyumannya. Sesuatu yang sempat menggetarkan perasaan Furqan . Bahkan menimbulkan keinginannya untuk selalu menatap. Sekarang? Entahlah. Padahal, mereka baru sahaja berkahwin dua tahun. Mungkinkah kerana Eliana tidak lagi berubah seperti yang diharapkan? Atau Furqan mula penat dengan semua hal yang dia fikir mampu dilakukan? Atau, Furqan mula putus harapan? Bukankah dia sering iri hati ketika melihat pasangan ikhwah dan akhawat yang bersemangat datang ke program-program mereka. Juga ketika melihat ummahat yang aktif menguruskan yayasan, lembaga, atau sarana dakwah lainnya. Oh, bahkan dia sempat bergetar perasaannya ketika bekerja dengan akhawat yang masih bujang, ketika sama-sama menguruskan beberapa kerja dalam program dakwah. Kadang-kadang dia rasa macam mahu menutup telinga nya ketika teman-teman sepengajiannya bercerita tentang dinamika rumah tangga mereka yang tidak pernah terlepas dari dakwah dan ibadah. Furqan mengeleng-geleng.Resah.

Ditatapnya wajah Eliana kembali. Wajah yang sering mengundang rasa sayang. Perasaan yang tidak pernah tega. Bukan seperti wajah para akhawat yang dia kenal. Wajah mereka tegas dan penuh kepercayaan pada diri. Hanya kadang-kadang saja dia mampu menikmati kelembutan atau kemanjaan yang seolah-olah sengaja disembunyikan.

“Astaghfirullah…Furqan mengusap wajahnya. Mengapa aku tidak mampu bersyukur? Mengapa aku menumpahkan semua penyebab kerisauan hati kepada Eliana? Benarkah diri ini tidak bersalah sama sekali? Tidak. Jangan-jangan , sikap Eliana yang begitu lambat berubah, kerana sikap aku sendiri. Boleh jadi aku lah yang terkesan kerana memaksakan kehendaknya sendiri.Mengajak Eliana menembusi dunia yang jauh berbeza, tanpa ada tahapan. Benar kata Ustaz Azrin, aku perlu menyediakan input terbaik dan waktu yang lebih, jika benar-benar mahu Eliana seperti yang aku kehendaki. Dan, kesabaran adalah kunci utama dalam proses panjang itu. Sebagaimana sendiri mengalaminya sejak sekolah menengah dulu” gumam hati kecil Furqan.

Jelas, Furqan mengenal Islam lebih mendalam sejak di tingkatan enam rendah di sekolah menengah, kemudian mula aktif di kampus sehinggalah sekarang, dalam dunia pekerjaan. Proses itu terus berjalan. Berapa tahun? Tujuh tahun! Bagaimana mungkin dia mahukan Eliana menjadi sepertinya dalam hitungan satu dua tahun ini? Secerdas dan seaktif mana pun Eliana, dia tetap tidak akan mampu berubah dengan pantas. Kata-kata Ustaz Azrin benar. Kenapa kita sangat perlu memilih akhawat yang sudah di tarbiyah? Yang sudah siap untuk berlari bersama? Ini untuk matlamat dakwah yang panjang..

Tiba-tiba…

[bersambung]

aweprofil

Related Posts with Thumbnails

Popularity: 5%

Filed Under: CURHAT

About the Author

Dengan slogan "Melakar Fikiran Ummah", Media Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Shah Alam Klang komited dalam memperjuangkan eksistensi dan kebolehupayaan umat Islam di Malaysia amnya dan di Shah Alam & Klang secara khususnya melalui propaganda telus dan dipercayai.

Leave a Reply




If you want a picture to show with your comment, go get a Gravatar.