KONWANIS kembali lagi
Bandar Baru Bangi, 25 Jun – Seperti tahun-tahun yang lepas, Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) anjuran Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kembali lagi pada tahun ini. Kali ini Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah untuk acara yang akan diadakan pada 24 Julai 2010 di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson.
Konvensyen ini diadakan dengan tujuan untuk mencapai beberapa objektif utama iaitu menjelaskan identiti dan jati diri wanita daripada perspektif Islam, memimpin wanita dalam mendepani cabaran sosial di pasca moden dan memartabatkan Islam sebagai penyelesai masalah dan jalan keluar.
Menurut Ustazah Norlida bt Kamarudin, Naib Ketua Wanita ISMA yang juga Pengarah KONWANIS 2010, tema ’Wanita Mendepani Cabaran Pascamoden’ telah dipilih kerana KONWANIS edisi keempat ini akan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi golongan wanita yang dikaitkan dengan cabaran sosial yang melanda.
“Pada akhirnya, kita berharap untuk mengemukakan jalan penyelesaian kepada semua isu dan cabaran ini berlandaskan Islam”, tambah beliau.
“Hakikatnya wanita memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan pascamoden yang pelbagai aspek ini. Justeru itu, mereka harus mendepani suasana ini dengan asas kekuatan yang tepat di samping mengetahui tabiat, impak serta cabaran yang bakal ditempuhi”, jelas Ustazah Norlida lagi.
Pelbagai agenda menarik telah disusun untuk menghiasi KONWANIS 2010, antaranya pembentangan tiga kertas kerja, forum, mini karnival dan malam kesenian. Kira-kira 1000 orang peserta dijangkakan hadir termasuk golongan profesional dan mahasiswi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar secara online, boleh melayari laman web rasmi KONWANIS di http://konwanis.ismaweb.net.
Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA
Sumber : ISMAWeb
Popularity: 2%
Filed Under: HEBAHAN



