Faham !
Oleh Ustaz Mohd Azrin Samsudin
Seorang pelajar hendaklah memahami daripada setiap pelajaran yang telah dilaluinya. Ketidak-fahaman terhadap pelajaran lalu akan menyebabkan langkah mendatang menjadi songsang.
Itulah yang berlaku terhadap kita pada hari ini, umat Islam sepatutnya belajar daripada pengalaman silam, agar sejarah kejatuhan kita tidak berulang lagi. Allah SWT telah memberikan panduan yang cukup kepada umat ini agar bergerak mengikut landasan yang betul, akan tetapi kerana umat ini ibarat anak-anak TADIKA yang tidak memberikan fokus ketika belajar, menyebabkan isu ‘terjatuh ke dalam lubang’ terlalu banyak berulang. Jika disenaraikan peristiwa tahun lepas, terlalu banyak calarnya.
Di tahun baru, azam yang baru pasti ditanam, bulan Muharram belum lagi tamat, apakah yang “telah” diri ini lakukan pada masa-masa itu? Pengalaman lampau menjadi panduan, kepahitan tidak akan berulang lagi, kemanisan pasti menjadi sandaran dan harapan. Setiap kesalahan akan dihabisi dengan TAUBAT pada Ilahi.
“Saya faham situasi lalu, Saya tidak akan ulanginya lagi. Sebagai seorang pelajar yang baik, setiap pengalaman yang dilalui akan dijadikan panduan bagi menempuh hari-hari mendatang. Setiap kesalahan akan ada MaghfirahNya, pintu taubat terus dibuka olehNya sehinggalah bumi ini menemui ajalnya”.
Dalam satu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Telah datang seorang wanita daripada Juhainah (nama tempat). Dia berkata kepada Rasulullah saw, “Aku berhak dikenakan hukuman hudud, kerana sesungguhnya anak dalam kandunganku ini adalah hasil daripada perbuatan zina yang telah Aku lakukan”. Maka Rasulullah saw mengutuskan pesanan kepada ketua keluarga wanita ini agar berlaku baik terhadapnya. Setelah wanita ini melahirkan bayinya dan tamat tempoh nifas serta tempoh susuan (dua tahun), maka Rasulullah saw menjalankan hukum hudud (Rejam dengan batu sehingga mati). Seusai itu Rasulullah saw ingin mendirikan solat jenazah keatasnya, maka berkata Saidina Umar r.a “Adakah engkau ingin solat jenazah ke atas wanita ini, sedangkan dia melakukan zina?” Jawab Rasulullah saw “Sesungguhnya wanita ini telah bertaubat kepada Allah, jika dibahagikan taubatnya kepada 70 orang Madinah nescaya ia masih lagi berlebihan, sesungguhnya dia benar-benar telah bertaubat kepada Allah swt”.
Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu, kelekaan kita menjadikan musuh semakin berani mencabar dan mendabik dada. Persoalannya, adakah kerana dosa ‘peribadi’ kita menyebabkan ISLAM dicabar sedemikian rupa? Dakwah lambat diterima? Persoalan yang mesti dijawab oleh setiap kita.
Memahami peristiwa lalu dapat meluruskan langkah hari ini.
*Hadith dipetik daripada kitab Petikan-petikan Daripada Kehidupan Rasulullah SAW (karangan Syeikh Ahmad Muhammad ‘Assaf – Bahasa Arab ms 197) ; terbitan Dar Ihya’ Ulum, Beirut
Popularity: 1%
Filed Under: HIKMAH



