Di Hujung Cahaya
oleh Mohd Azmir b Mohd Razli
Episod : 1
Angin panas Madinah menerpa dan menampar muka pemuda yang sejak tadi berdiri di jendela tingkap yang luas terkuak. Fikirannya menerawang memikirkan sesuatu yang benar-benar merunsingkan kepalanya. Kepalanya serabut memikirkan jalan penyelesaian yang perlu dibuat untuk dirinya. Rambutnya yang sedikit panjang terbuai-buai ditiup angin panas. Dia menoleh semula ke dalam kamarnya. Dia kembali baring di atas tilam empuk yang dibelinya sebulan yang lalu.
Beberapa tahun yang lalu ketika di Kuala Lumpur, dia didatangi seorang lelaki yang tidak dikenalinya ketika sedang duduk-duduk di gerai. Dia diajak berbual seketika. Walaupun dia sebenarnya tidak mahu, namun dia seperti dipukau oleh sesuatu yang aneh untuk mengikut lelaki tersebut dan berbual dengannya. Lelaki itu menghampiri umur senja, namun wajahnya muda seperti masih di pertengahan umur. Tubuh badannya yang keding itu masih tegap dan kuat meskipun sedikit ketar. Lelaki itu hanya memakai jubah putih yang tampak lusuh, berlilit serban di kepala.
Lelaki itu rancak berbicara mengenai Tuhan, ketuhanan dan kenabian. Dia terpinga-pinga. Selama ini tidak sekali dia memikirkan mengenai Tuhan, meskipun dia adalah seorang Muslim, namun Islamnya hanyalah pada nama. Bahkan, tiada sesiapa yang berani berbual dengannya mengenai agama. Dia tenggelam dalam hedonisme. Hidup adalah hiburan. Arak adalah kelaziman. Maksiat adalah kewajiban. Wanita adalah kebiasaan.
“Allah tidak menciptakan kita suka-suka wahai anakku.” Kata lelaki tersebut. “Kita diciptakan dengan matlamat.” Sambungnya lagi.
Dia tetap melongo. Terpinga-pinga. Dia sendiri tidak betah dengan omongan lelaki tadi. Seingatnya terakhir sekali dia mendengar mengenai Tuhan adalah di bangku sekolah, itupun di tingkatan lima. Selepas melanjutkan pelajaran ke universiti di luar negara, telinganya tidak pernah terdengar kalimah tuhan hinggalah saat itu.
“Kalau kita beramal dengan kebaikan, maka Allah akan membalas dengan kebaikan. Sebaliknya, kalau kita beramal dengan keburukan, begitu jugalah Allah akan membalas kepada kita.” Lelaki tadi terus berbicara. “Setiap sesuatu yang kita lakukan akan dihisab, dari sebesar-besar amalan hinggalah sekecil-kecil zarah.”
“Kalau begitu, saya telah banyak berbuat dosa pakcik. Adakah Allah akan balas saya dengan keburukan?” Dia mula bersuara. Lidahnya agak liat dan pelat menyebut nama Tuhannya. Tapi hatinya tertanya-tanya.
“Sudah tentu kamu akan dibalas dengan keburukan kalau itu yang kamu lakukan di dunia.” Lelaki yang dipanggilnya pakcik membalas ringkas dan serius.
Dia mula tersentak apabila mendengar jawapan lelaki tadi. Hatinya menjadi kecut mendengar bahawa dia akan menerima balasan daripada Tuhan. Bahana di atas segala perbuatan kutuknya di dunia.
“Cuba kamu bayangkan, orang yang berzina di atas muka bumi akan dibangkitkan Allah di akhirat kelak dalam keadaan terbalik, kepala di bawah kaki di atas dan kemaluannya ditusuk dengan besi panas sehingga berdarah dan bernanah. Itu baru dihidupkan semula, belum lagi dibalas di neraka.” Tambah lelaki tua tadi.
Bertambah-tambah gerun di hatinya. Dia jadi kaget. Selama ini dia tidak takutkan sesiapa, tapi kali ini, dia takut sangat-sangat sehingga matanya berdenyut-denyut.
Lelaki tadi seperti dapat membaca fikirannya. Lantas terus menyambung kata-katanya.
“Tapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, anakku. Kalau tidak masakan boleh Dia benarkan kamu masih menghirup udara-Nya?” Ujar lelaki tadi.
Dia mula berfikir mengenai apa yang dibicarakan lelaki tadi. Dengan tidak membuang masa, lelaki tadi terus menyambung bicaranya.
“Selagi kiamat masih belum menjelang, selagi itu pintu taubat terbuka. Selagi pintu taubat tidak ditutup, selagi itu Dia akan menerima taubat hamba-Nya. Tapi taubatlah dengan ikhlas, buatlah taubat nasuha.”
Hatinya mula berasa lega. Ringan sedikit bebannya apabila mengetahui bahawa dia masih mempunyai peluang.
“Saya harap pakcik dapat ajarkan pada saya bagaimana untuk bertaubat pakcik. Saya benar-benar tidak mahu tenggelam lagi dalam maksiat.”
Hatinya seperti terbuka menerima hidayah Allah. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia telah memilih jalan itu. Lelaki tadi bingkas daripada duduknya lantas menyambut tangannya dengan lembut. Dia terkesima, hatinya merasa sebak. Dia terasa seperti mahu menangis. Seorang lelaki yang tidak dikenalinya menyambutnya dengan mesra meskipun dia tidak mempunyai sebarang pertalian mahupun kenal dengannya.
“Anak nama apa?” Tanya lelaki tadi.
“Nama saya Fimiyun pakcik.” Sahutnya perlahan dalam sebak.
“Sedap nama kamu itu, panggil pakcik Tok Su sahaja. Sudah, mari ikut Tok Su.”
Dia lantas bangun mengikut lelaki tadi dan bersama-sama meninggalkan tempat mereka berbual tadi menuju ke Masjid.
Nyamuk yang terbang mengiang kuat di telinganya memecah lamunannya. Tangan segera menampar nyamuk tadi. Dia kembali merenung.
Tok Su lah yang mengajarnya bertaubat. Dia yang tidak tahu berwudhuk diajarkan. Tidak tahu bersolat ditunjukkan. Dirinya kotor dibersihkan. Mana mungkin akan dia lupakan lelaki yang banyak berjasa kepadanya. Sejak hari itu, dia tekun mengikut Tok Su. Dia memilih untuk berpindah sementara ke rumah Tok Su.
Rumah Tok Su hanya sederhana, kecil tidak seperti rumah banglonya. Tiada elektrik, kalau malam bergelaplah gamaknya. Tandas juga seperti rumah kampung yang biasa, tandas cangkung. Terletak di luar rumah, jadi terpaksa berjalan sedikit. Awalnya dia agak canggung dengan situasi itu. Setelah beberapa lama dia mula menyesuaikan diri. Alah bisa tegal biasa.
Ke mana Tok Su pergi, dia pasti akan membuntuti. Talian telefon diputuskan. Dia tidak mahu lagi hanyut dengan dunia. Untuk sementara ini, biarlah hatinya tenteram dan aman daripada celaan fana. Ke mana sahaja Tok Su pergi untuk menuntut ilmu, dia akan ikut. Segala apa yang tidak difahaminya, akan diaju kepada Tok Su. Dengan Tok Su jugalah dia belajar mengaji al-Quran. Segala duit yang dia ada samada diinfakkan ke jalan Allah, derma Masjid, zakat orang miskin ataupun untuk kebajikan Tok Su. Kadang-kadang buku agama juga dibelinya sebagai rujukan. Kalau dahulu buku tulisan penulis-penulis barat menjadi idolanya, kini nama seperti Harun Yahya, Abu al-A’la al-Maududi, Yusof al-Qardhawi dan beberapa yang lain menjadi tatapan idamannya. Dia sentiasa pastikan segalanya cukup bagi orang yang dianggapnya mulia itu. Bagi dia yang merupakan anak yang tidak pernah bertemu dengan kedua ibu bapa sebenarnya, Tok Su adalah ayahnya.
Pernah dia ikut Tok Su ke kebunnya di belakang rumah. Kalau dahulu jangankan kebun, taman mini pun dia tiada dan tidak pernah dikerjakan. Di rumah Tok Su segalanya perlu menggunakan tulang empat kerat. Sepanjang hari dia sibuk membersihkan kebun tersebut dari rumput-rumput dan lainnya. Entah dari mana datangnya semangat itu. Dia sendiri tidak pernah kerjakan kebun orang lain sebelum ini. Namun dia juga manusia biasa, malam itu sengal satu badan dibuatnya, terus melarat dan demam keesokan harinya. Tok Su jualah yang menjaganya. Dia hanya ketawa melihat telatah anak muda itu. Panjang pula leternya.
Bulan silih berganti, mata terpejam celik, hari kian beransur. Makin lama hubungan mereka kian rapat. Mereka benar-benar seperti anak-beranak. Penduduk kampung semuanya sangat mengenali Fimiyun. Dia jua mesra dengan semua penduduk di situ. Kadang-kadang dia menjadi imam untuk solat fardhu di Surau. Itupun setelah ditolak, dipaksa dan diherdik oleh Tok Su. Namun Fimiyun tidak memarahinya, dia tahu itu adalah didikan kepadanya. Kenduri yang berlangsung ada sahaja muncul wajah si Fimiyun, dia ringan tulang membantu. Kalau dahulu semasa di bekerja di syarikat, dia enggan bertemu dengan orang ramai. Dia hanya mahu berurusan dengan orang atasan. Baginya orang biasa tidak setaraf dengannya. Tapi kini berbeza.
[bersambung]
Popularity: 3%
Filed Under: KARYA




